Friday, June 17, 2011

Selamat Hari Jadi Imam Muda Umie..


13 Jun, 2000..


Setahun lepas aku selamat melahirkan Lyana.. Pagi 12 Jun, 2000.. aku kesakitan. Sehari sebelum itu, kami semua sama-sama meniup lilin genap setahun usia Lyana. Saja disambut awal kerana aku dijangka melahirkan bayi ke-dua kami pada tarikh sama dengan tarikh lahir Lyana.


Pagi Ahad, aku mengejutkan babah. Babah bergegas mandi dan bersiap menghantar aku ke Hospital Seremban.

Seharian aku menanggung kesakitan. Kali nie aku lebih bersedia. Mungkin kerana aku telah belajar dari pengalaman yang lepas.

Menjelang Isyak.. perut yang sakit tak boleh ditahan-tahan lagi. Aku segera dihantar ke Bilik bersalin. Hospital Besar Seremban lebih moden dan lebih teratur. Semua ibu diletakkan dibilik yang berasingan.


Sakit aku berterusan tapi air mentuban masih tak pecah. Jalan telah terbuka sedikit. Seorang doktor Cina lelaki datang dan proses memecahkan mentuban berlaku.. Aku difahamkan.. kalau hendak "Teran" baby keluar kena tunggu jalan terbuka sehingga 9cm. Setiap sejam kesakitan yang aku lalui, jalan hanya akan terbuka cuma 1cm saja.. 9cm.. maknanya 9 jam.. aduyai...


Tapi aku bertuah pada kali nie, baru setahun melahirkan Lyana, maknanya jalannya masih baru dan mudah untuk melahirkan. Tepat jam 12.33 pagi.. 13 Jun, 2000 aku selamat melahirkan Baby boy.


Mata tak lepas dari memerhatikan baby. Proses yang sama aku lalui sewaktu melahirkan Lyana aku lalui juga pada kali nie. Bayi lelaki berkulit putih merah kemas dalam dakapan aku.


Indah.. sungguh indah. Aku menangis lagi. Bukan kerana kesakitan... tapi kerana kegembiraan. Bagi aku.. lengkaplah sudah sebuah keluarga. Lengkaplah sudah cahayamata kami.. sepasang. Apa yang diimpikan oleh semua lelaki.. bayi yang bakal meneruskan legasinya.


Keluar dari bilik bersalin jam 3 pagi. Babah menanti bersama dengan sepupunya.. Tugasnya sebagai bapa dilunaskan. Kelahiran baby ini lebih mudah dari sebelumnya..


Muhammad Adib Hakimi.. nama pilihan kami.


Terpuji Beradab Sopan Pujangga Bijaksana.


Antara makna-maknanya..


Dia seorang kanak-kanak yang pintar. Setelah kehilangan Imam yang sepatutnya dalam hidup kami, Aku mahu dia menjadi Imam aku. Langkah yang terbaik aku hantar dia ke Sekolah Rendah Agama Lughatul Arabiah. Disana dia diajar menjadi seorang muslim yang terpuji. Selain ilmu berkaitan dengan hukum-hukum Allah, dia juga diajar menjadi seorang Imam. Ya.. dia kini telah berupaya menjadi imam buat kami.. Dia mampu membaca doa dengan baik.. Tiada lagi yang aku pinta kerana Allah telah mengurniakan permata didalam hidup aku.


Adib seorang yang anak yang bijak, manja, penyayang cuma dia agak kasar. Aku tahu dia menjadi seorang yang suka memberontak kerana dia berusaha meraih perhatian aku. Bila berhadapan dengan Adib, aku selalunya akan bersifat lebih lembut walaupun kadang-kala kesabaran aku tercabar. Aku ajar Adib agar menjadi lebih kuat dan yakin dengan dirinya. Aku mahu dia menjadi pelindung kepada Lyana dan Dani. Ya.. dia memang boleh diharap.


Adib.. Selamat hari jadi yang ke11 tahun sayang. Jadilah anak yang Soleh.. jadilah anak yang boleh memberikan makanan buat umie dan babah ketika kami di"sana" nanti. Jagalah tingkah laku mu sayang.. Umie doakan Allah memberikan keredhaan dan syurgaNya buat Imam Muda Umie...



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails